Monday 31 March 2008

MISI & VISI

Falsafah Pendidikan Negara
----------------------------------
Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang harmonis dan seimbang dari segi intelek, rohani, dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan dan berakhlak mulia, berketrampilan, bertanggungjawab, berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.

Falsafah Pendidikan ABIM
--------------------------------
Pendidikan adalah satu usaha yang berterusan ke arah memperkembangkan individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang hamonis dari segi intelek, rohani dan jasmani berdasakan kepercayaan kepada Allah untuk melahirkan insan yang berilmu pengetahuan dan berakhlak mulia, berketrampilan, bertanggungjawab sebagai hamba dan khalifah yang boleh memberi sumbangan terhadap ummah.

MISI PENDIDIKAN SEKOLAH SRI JOHOR BAHRU
--------------------------------
> Menyediakan iklim sekolah serta asas tarbiyyah yang sesuai bai pembentukan iman dan peribadi muslim sejati kepada kanak-kanak untuk menghadapi hidup yang sebenar.
> Memperkembangkan ruh, akal, emosi dan fizikal selaras dengan tuntutan Islam supaya menjadi generasi yang teguh zahir dan batin serta tunduk patuh kepada perintah dan peraturan Ilahi.
> Menyediakan asas ketrampilan kemahiran (psikomotor) mengikut minat dan bakat bagi membolehkan dirinya nanti memilih sesuatu bidang pekerjaan yang sesuai.
> Menyediakan bakal belia muslim yang bertanggungjawab terhadap masyarakat dan alam sekitar.

OBJEKTIF SEKOLAH SRI JOHOR BAHRU
--------------------------------
> Menyesuai dan memupuk Sahsiah Islamiah
> Membekalkan asas kebolehan hidup yang memampukannya untuk menghadapi alam mukallaf
> Memperseimbang dalam diri kanak-kanak tuntutan kerohanian dan kebolehan
> Menanam keimanan di dalam diri generasi muda
> Memupuk dan mengembangkan minat untuk terus belajar
> Menekankan nilai-nilai Islam dan keikhlasan kepada Allah dalam melakukan apa jua tugas dan tanggungjawab
> Menyediakan pengetahuan asas ketrampilan (psikomotor)
> Menanam semangat cinta kepada agama dan penghayatannya yang berterusan terhadap diri sendiri dan masyarakat

MOTTO SRI JOHOR BAHRU
--------------------------------
> Pembentukan Insan Soleh

PIAGAM SEKOLAH SRI JOHOR BAHRU
--------------------------------
Kami staf Sekolah SRI Johor Bahru berjanji dan berikrar:-
> Membimbing pelajar-pelajar membentuk sahsiah dan akhlak yang mulia serta terpuji berdasarkan al-Quran dan Sunnah.
> Mewujudkan suasana sekolah yang bersih, ceria dan berbudaya penyayang
> Mempertingkatkan pengetahuan agama, akademik dan ko kurikulum ke tahap yang lebih tinggi
> Melahirkan generasi bertakwa dan beriman ke arah negara yang mendapat keampunan dan keredhaan Allah S.W.T.

5 WASILAH TARBIYYAH
--------------------------------
(Ke Arah Pembentukan Insan Soleh):-
> Pendidikan melalui contoh teladan (Qudwah).
> Pendidikan melalui kelaziman.
> Pendidikan melalui kata-kata nasihat dan peringatan.
> Pendidikan melalui perhatian, pengawasan danpenelitian (Mulahazah).
> Pendidikan melalui hukuman.

SEKILAS PANDANG



Sekolah SRI Johor Bahru merupakan sebuah institusi pendidikan rendah yang telah berdaftar dengan Jabatan Pendidikan negeri Johor (JPNJ) dan Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ). Dengan mengabungkan kurikulum bersepadu iaitu Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Sekolah Rendah Agama Johor serta pembangunan insan berasaskan islamisasi ilmu, kini telah mempunyai pengalaman hampir 15 tahun dalam dunia pendidikan.
---
Ditubuhkan sejak 3 Disember 1989, Sekolah SRI Johor Bahru telah melahirkan lebih 500 orang pelajar lepasan UPSR dan SPRA, secara tidak langsung telah mendapat sokongan yang menggalakkan dari masyarakat Islam daerah Johor Bahru serta segelintir masyarakat Singapura.
---
Sekolah SRI Johor Bahru yang dahulunya dikenali sebagai Sekolah Rendah Islam ABIM Johor merupakan salah satu rangkaian SRI/SEMI di seluruh Malaysia yang terletak di bawah pentadbiran Yayasan Takmir Pendidikan Pusat dan di bawah naungan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), kini perlu ‘bergerak sendiri’ tanpa bergantung penuh dengan kerajaan mahupun badan pertubuhan lain.
---
Oleh yang demikian, kami dari semasa ke semasa senantiasa berusaha untuk meningkatkan prestasi pengurusan, serta proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) selari dengan kemajuan hari ini atas satu matlamat dan cita-cita pembangunan ummah.
Beralamat di No. 10, Jalan Abdul Rahman Andak, kami menyewa kawasan tanah wakaf pendidikan melalui pihak Majlis Jemaah Trustee Kolej Tunku Ampuan Mariam sejak Disember 1989. Tapak asal kami hanyalah 6 buah bilik darjah, 2 buah kontena, dewan, kantin, gelanggang badminton dan sebuah bilik sukan. Tiada kemudahan padang di kawasan tapak ini malah gekanggang badminton juga di dalam dewan sahaja.
---
Setelah 6 tahun kami bertapak di kawasan ini, pelajar-pelajar Kolej Tunku Ampuan Mariam di bawah pentadbiran Jabatan Pendidikan Johor telah berpindah ke tapak bangunan sendiri di Taman Johor Jaya. Berikutan itu, atas kekurangan kelas dan sambutan yang menggalakkan daripada ibubapa murid, kami berpindah ke tapak baru di atas lokasi lot yang sama; tapak Kolej Tunku Ampuan Mariam tadi; seluas lebih kurang 1 ekar setelah pihak ABIM Negeri Johor diberikan hak sewaan selama 10 tahun mulai Ogos 1996 untuk kawasan tanah wakaf seluas hampir empat ekar. Tapak baru mempunyai lebih banyak kemudahan berbanding tapak lama. Terdapat 12 buah bilik darjah, kantin, 2 buah makmal, padang serta beberapa kemudahan lain yang amat sesuai untuk sekolah.
---
Motto Sekolah SRI Johor Bahru “Pembentukan Insan Soleh” amat praktikal untuk melahirkan generasi hebat ummah. Mulai dengan hanya 32 orang murid tahun 1, Sekolah SRI Johor Bahru kini mempunyai lebih 300 orang murid untuk 12 kelas Tahun 1 hingga 6. Atas objektif penerapan sahsiah islamiah, kerohanian, keimanan, minat dan kecenderungan belajar, nilai Islam dan keikhlasan kepada Allah, ketrampilan hebat dan semangat penghayatan dan cintakan agama pada diri juga masyarakat, Sekolah SRI Johor Bahru masih tetap teguh berdiri biar berbagai rintangan perlu dihadapi.